Tumblr Cursors | Tumblr Theme

Minggu, 07 Agustus 2011

Bukan Sembarang Remaja


LENGGOK dan fizikalnya bagaikan seorang anak kecil yang sungguh comel. Namun tidak terduga, di sebalik sifat yang jelas sekali pada pandangan visual, kotak fikirannya cukup bijak serta tutur katanya juga membayangkan dirinya seorang yang cukup berpengalaman.
Gita Gutawa baru berusia 15 tahun, tetapi tidak pemikirannya.
Kebijaksanaannya menyusun ayat saat memberikan jawapan terhadap semua persoalan yang diajukan buatnya terserlah, malah cukup mengagumkan apabila jawapan yang diberikannya dengan penuh yakin.
Begitu teguh terhadap pendiriannya selama ini.
Inilah keistimewaan anak gadis remaja karyawan muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa. Tuah sentiasa mendatangi dirinya selepas menceburkan diri dalam dunia seni.
Hasil kerja kerasnya juga perlu dijadikan contoh kepada anak muda zaman kini kerana Gita akan terbang ke Tanah Suci, Mekah untuk mengerjakan umrah menjelang 2 Julai ini ditemani oleh neneknya serta rombongan peserta yang lain.
Biar usianya masih remaja, dia sudah mampu menggunakan pendapatannya sendiri untuk mengerjakan umrah.
Gita menjelaskan, dia sudah bersedia untuk ke Mekah, malah persiapan turut telah lengkap dari segi pakaian yang ingin dibawa mahupun doa-doa ketika menunaikan ibadat itu.
“Saya memang tidak sabar untuk ke Mekah bersama nenek. Tujuannya bukan apa tetapi ingin bersyukur ke hadrat Ilahi kerana perjuangan saya selama ini berjaya.
“Kita tidak boleh leka dengan apa yang dicapai dalam kehidupan selama ini, perlu diucap syukur kepada Maha Esa,” tegasnya.
Ditebak persoalan adakah dia sudah mempelajari serba sedikit tentang apa yang penting bagi menunaikan umrah, Gita menegaskan, disebabkan dirinya telah mendapat pendidikan di sekolah agama iaitu Sekolah Al-Izhar Pondok Labu, justeru membuatkan dirinya tiada masalah dari segi bacaan doa dan sebagainya.
“Saya belajar di sekolah agama, jadi pendedahan agama sudah sebati dalam diri ini tambah pula walaupun minat saya dan keluarga dalam muzik memang mendalam tetapi mereka juga tidak sesekali melupakan kepentingan ajaran agama buat diri saya,” jelasnya sambil tersenyum manis.
Dalam pada itu ibu Gita, Lulu Gutawa,44, yang amat berbangga dengan tahap pencapaian anak sulungnya itu mencelah, “Gita yang mengajak neneknya menunaikan umrah, jadi neneknya tidak menolak pelawaan dan niat baik Gita itu.”
Menyentuh pula mengenai posisi dirinya sebagai seorang penyanyi, Gita ternyata serba boleh dan langsung tidak memilih genre lagu yang akan dipersembahkan olehnya.

ALBUM kedua Gita bakal menyuntik karya seni Erwin Gutawa.

Ini kerana Gita pernah mempunyai album lagu single nasyid sempena bulan Ramadan tahun lalu.
Katanya, tidak salah bagi dirinya untuk mencuba pelbagai jenis lagu dan langsung tidak malu dengan pembaharuan yang dilakukan.
“Bagi menghasilkan album lagu single nasyid itu, saya suka sekali dan tidak peduli apa orang cakap, yang pentingnya saya dapat pelbagai pengalaman istimewa. Ia tidak terhad terhadap satu konsep sahaja,” ungkapnya.
Meletakkan pelajaran sebagai apa yang paling utama, sejak peringkat awal persekolahan lagi, Gita seringkali mendapat anugerah Juara Terbaik Ujian Nasional atau di Malaysia, ia boleh diibaratkan sebagai anugerah pelajar terbaik.
Beritahunya yang mempunyai berat badan sebanyak 45 kilogram, tumpuan dalam kelas amat penting selain membuat ulang kaji di rumah.
Walaupun jadual seninya amat ketat tetapi Gita memastikan pelajaran di sekolah perlu didahului.
“Ibu akan menghantar saya memasuki kelas tambahan dua bulan sebelum menjalani ujian di sekolah. Itulah salah satu faktor kejayaan saya sehingga ini,” jelasnya.
Terima bunga setiap minggu Bakat terpendam Gita mula jelas terserlah sejak berusia lapan tahun lagi setelah dihantar ke kelas muzik dan vokal.
Ia diakui sendiri oleh ibunya. Dan mungkin juga pendedahan muzik dalam diri Gita juga disebabkan oleh ayahnya.
“Gita suka menyanyi, jemput sahaja dia selepas kelas vokal sudah pasti dia akan masuk dalam kereta dan terus menyanyi sehingga tiba di rumah,” ujar Lulu sambil tergelak mengingatkan kembali zaman kecil anaknya itu.
Dalam pada itu, Gita mengakui yang dia juga gemar menyanyi di dalam bilik air.
“Enak sekali bunyinya menyanyi dalam bilik air,” katanya dengan ketawa kecil.
Sementara sudah bergelar penyanyi popular, sudah tentu Gita mempunyai ramai peminat yang pelbagai ragam.
Jelas Gita, memang kadang-kadang dia ada menerima jambangan bunga yang dihantar ke rumahnya oleh pada setiap minggu oleh seorang peminat misteri.

GITA belum bersedia untuk jatuh cinta.

Menurut Gita, dia menerima apa sahaja yang dihadiahkan oleh para peminatnya, termasuk surat semata-mata atas hubungan seorang penyanyi dan peminatnya.
Menyentuh pula soal cinta, Gita yang mempunyai pendiriannya tersendiri langsung tidak memikirkan mahu mempunyai hubungan istimewa dengan seseorang.
Beritahunya lagi, dia belum bersedia lagi untuk jatuh cinta kerana umurnya masih terlalu muda, serta banyak lagi perkara yang perlu diberikan tumpuan khususnya pendidikan dan kerjaya muzik yang sudah sekian lama diminatinya itu.
“Oh! Tidak mungkin untuk bercinta semuanya itu tiada masa hanya kawan-kawan biasa sahaja dan mereka baik dengan saya malah sentiasa memberi sokongan,” tambahnya.
Muncul dengan album kedua Kemunculan Gita dengan album debutnya yang mengunakan judul namanya sendiri, Gita Gutawa ternyata membuahkan hasil.
Hadir dengan konsep pop klasik, Gita terus sahaja meraih populariti luar biasa. Mungkin konsep yang dibawa Gita lain daripada yang lain dan paling menarik perhatian ramai, vokalnya yang bernada cukup tinggi.
Tambahan pula, Gita jarang dikaitkan dengan gosip yang boleh menjatuhkan maruah dirinya.
Disebabkan kejayaannya menerusi album tersebut dengan jualan di pasaran di Indonesia mencecah 400,000 unit, maka Gita tidak sabar untuk menghasilkan album keduanya pula.
Anak sulung dari dua beradik ini memberitahu, album keduanya masih dalam proses perbincangan dan banyak lagi yang perlu dirancang untuk memastikan albumnya kali ini berjaya diterima seperti album pertama.
“Kita masih mencari material album kedua dan bapa saya juga akan terlibat dalam pembikinannya,” ujar Gita yang datang ke Malaysia untuk beberapa hari sahaja.
Kehadirannya kali ini bagi konsert Cornetto Love Sparks bersama Dafi, Mawi dan Mila yang bertujuan untuk menghargai cinta, muzik dan persahabatan yang berlangsung di Padang Merbok, pada Sabtu lepas.
Kosmo

Tidak ada komentar:

Posting Komentar